Friday, March 10, 2017

Hati..

Hati kita yang seketul ini
kecil saja namun fungsinya perkasa
mampu membolak balikkan perasaan
bahkan menahan menjeruk rasa
membuatkan mata dan jiwa kadang-kadang kucar kacir
milik siapa sebenarnya hati ini?

Meski katamu kau tidak percaya akan rasa kasih dan sayang
kau bercakap langsung tidak berhati-hati
tahukah kau hati kita milik siapa
hati yang sekeping keras itu meskipun lembut
sebenarnya sangat rapuh
namun berselindung di sebalik ampuh sebuah pegangan
tahukah kau hatimu milik siapa kini?

Andai Tuhan menyentuh sedikit saja
hatimu bisa berubah
berpaling kepada aku
aku berdoa
saat itu pasti tiba
hatimu berpaling kepadaku
lelaki!

Thursday, August 11, 2016

Menguburkan satu kedukaan..

Amat pedih sebuah perasaan yang sudah lama bungkam
lantaran masa lalu yang tidak pernah memercikkan nuansa merah jambu, hijau serindit mahupun biru lazuari atau ungu lembayung senja pada langit kehidupan.

Amat pilu sebuah perasaan yang sengsara dalam penjara terbuka tanpa dapat dilepaskan mahupun tiada sekatan untuk lepas bebas mengukir cerita hidup yang sepatutnya bersepuh emas perada membiaskan sinar gemilang.

Amat dukacita rasanya sekeping hati yang tidak pernah ditarah belati beracun namun darah menitik tanpa henti meskipun cuba ditahan luka itu dengan setanggi bernama tabah dan sabar.

Amat, amat nyeri rasanya untuk menguburkan sebuah masa lalu..namun lebih menakutkan untuk merintis masa depan yang tiada setitik zarah keembiraan pun berterbangan meskipun awan larat menjalar menukil indah lapangan jagatraya tiada sempadan ini..

Kehidupan bukan seperti yang kita jangkakan..tidak akan ada bayu yang sentiasa nyaman dalam kehidupan. Yang sering ada adalah angin pilu panas yang menepiskan hawa hangat, menimbulkan kesan tidak enak apabila menyapa pada kulit. Pun kita terpaksa menerima hakikat dan kenyataan ini kerana kita adalah manusia pada jagatraya luas yang penghuninya ada sejuta ragam...

Tuesday, May 10, 2016

Luka..

Seperti selamanya,
tiada ruang untuk yang bernama sedih dalam catatan hidup aku
Tidak usahlah kau merayu atau meratap
untuk ruang yang menarah luka
dan menerbitkan barah sengsara itu dalam hati aku
kerana kau pun tahu
hati aku adalah karang abadi
tiada masin air laut yang mampu menghakisnya
tiada arus dasar laut yang mampu mengubah asal bentuknya
kerana hati yang seketul itu
sudah disihir
angin misteri bernama luka
luka yang abadi pilunya..
kerana pilu dan luka itu
adalah benteng hati aku!

Sunday, August 3, 2014

rindu 1

rindu ini tidak pernah ada titik noktah
ia wujud sejak aku belum mengenalimu
dan ia tidak akan berhenti merinduimu
walaupun kau tidak pernah mengenali aku...

Friday, January 24, 2014

Pilu..

Cuaca musim sejuk menikam-nikam tulang
dan salji tanpa maaf mencium seluruh pipi dan wajah
berbalut dengan coat hitam panjang paras lutut ini
sama sekali tidak berupaya membekalkan panas yang aku mahukan
Andainya kau ada di sisi, mahu saja aku menumpang sayu di bahumu!

Catatan musim dingin, Kensington 2010.

Tiada ruang..

"Tak kan sedikit pun tak boleh bagi ruang dan peluang?"
"Saya sudah banyak memberi.."
"Bagi peluang dan ruang yang terakhir..."
"Yang terakhir sudah lama saya berikan. tiada apa lagi yang tinggal."

"Sampai begitu sekali?"
"Saya nak tidur..jaga diri!'

Klik. Gagang putus. Perbualan tamat.

Andainya kau tahu, bertahun aku menahan sengsara akibat perbuatanmu, menoreh luka pada sekeping hati tanpa belas kasihan. Tiada sedikit pun belas yang kau pertaruhkan untuk aku ketika itu, dalam gelap malam. Kau tega meninggalkan aku keseorangan pada satu perhentian dan kau pulang sendirian. Betapa hati aku luka berdarah, begini yang kau perlakukan. Dan kini hati aku sudah beku seperti salji yang sudah mula menebal menjadi lapisan ais..

Catatan malam musim dingin, Kensington 2010.

Monday, January 20, 2014

Mati...

Tatkala bulan ranum di dada langit
sukar menelan rasa yang pahit
tatkala bulan selindung di balik awan
tersiat rasa yang rawan
tatkala bulan gelap sombong menyendiri
aku mati!